KENYATAAN MEDIA | 21 MEI 2020
Pemuda Pakatan Harapan (PH) Negeri Perak bertekad untuk segera memperkukuhkan posisi parti masing-masing dalam PH bagi berhadapan dengan cabaran politik semasa.
Kami juga percaya bahawa kekuatan Pakatan Harapan terletak pada kebijaksanaan kepimpinan di semua peringkat bagi memperkemas kepimpinan parti di setiap peringkat dalam menghadapi sebarang kemungkinan dinamika politik semasa tanah air.
Kami juga bersetuju untuk terus mempertingkatkan persefahaman bersama berteraskan kepada kejujuran dan keikhlasan idealisme politik baharu yang mementingkan soal ekonomi dan kesejahteraan rakyat terutamanya dalam menghadapi kesan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Berkait kedudukan sebagai pembangkang di negeri Perak, Pemuda PH Perak akan memainkan peranan semaksima mungkin sebagai mata dan telinga rakyat dalam memastikan setiap dasar dan polisi kerajaan diteliti melalui proses semak dan imbang sama ada dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri ataupun forum awam yang bersifat konstruktif.
Pemuda PH juga sepakat untuk mempersiapkan jentera pilihanraya di setiap kawasan sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen bagi memastikan Pilihan Raya yang boleh berlaku pada bila-bila masa dapat diwakili oleh calon-calon yang berwibawa bagi memastikan mandat kembali diberikan kepada PH.
Kesepakatan ini akan diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja yang lebih tersusun di peringkat akar umbi untuk membawa mesej kepada rakyat bahawa PH mampu memberikan khidmat yang cemerlang kepada rakyat berdasarkan kepada rekod dan pencapaian yang dicatatkan dalam tempoh 22 bulan PH memerintah.
Buat semua pendokong dan penyokong PH, marilah kita rapatkan saf membina semula kekuatan dan terus maju untuk kembali merealisasikan Harapan Malaysia.
KHAIROL NAJIB HASHIM
Ketua Pemuda AMANAH Negeri Perak
CHAW KAM FOON
Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Negeri Perak
MOHAMAD HAIRUL AMIR SABRI
Ketua Angkatan Muda KeAdilan (AMK) Negeri Perak